Sunday, March 1, 2009

Potensi Pertanian

Dewasa ini bidang pertanian dilihat sebagai satu cabang kegiatan ekonomi yang penting serta berupaya menjana pendapatan lumayan kepada pengusahanya.

Melihat potensi besar dalam bidang tersebut, semakin ramai usahawan tani di negeri ini tampil menyahut seruan kerajaan dalam merealisasi moto 'Pertanian Adalah Perniagaan'.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata, usahawan tani kini perlu memperluas minda dengan tidak membataskan aktiviti kepada kegiatan pengeluaran sahaja.

Sebaliknya, menurut beliau, bidang pertanian perlu dilihat sebagai satu industri berskala besar dengan pulangan serta keuntungan yang tinggi.

''Peladang, penternak dan nelayan tidak seharusnya kekal sebagai pengeluar sahaja dan membiarkan aktiviti nilai tambah produk pertanian dikuasai oleh pihak lain," ujar beliau.

Mohamad berkata demikian ketika berucap merasmikan Ekspo Agro-Biotek 2008 sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di Paroi dekat sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Yunus Rahmat; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Norzam Mohd. Nor dan Pengerusi Pertubuhan Peladang negeri, Datuk Ibrahim Jahaya.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyampaikan Anugerah Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri kepada 14 kategori pemenang.

Ekspo berkenaan bermula semalam hingga 18 November ini dengan melibatkan 170 usahawan tani serta agensi kerajaan dan syarikat swasta yang bergiat dalam sektor perladangan, penternakan dan perikanan di seluruh negara.

Di samping itu, jelas Mohamad, kesemua usahawan tani di negeri ini diminta melakukan perubahan minda bagi membolehkan mereka bertindak balas dengan segera dan tepat terhadap setiap perubahan dalam iklim pasaran.

''Usahawan tani perlu berjiwa besar dengan melihat pertanian sebagai satu industri gergasi yang mampu bersaing di pasaran global.

''Mereka juga seharusnya membuka minda kepada aspek penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), penerokaan pasaran serta proses globalisasi," kata beliau.

Ujarnya lagi, usahawan tani perlu memperluas pengetahuan dalam bidang pemasaran serta mempunyai jati diri, daya tahan dan semangat juang yang tinggi.

Sementara itu, dalam buku cendera mata ekspo berkenaan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, berkata, pendekatan yang dinamik lagi progresif diperlukan bagi mencapai matlamat Pertanian Baru seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

Jelas beliau, kerajaan berhasrat untuk menjadikan bidang pertanian sebagai satu perniagaan yang mempunyai nilai tambah, menggunakan teknologi tinggi termasuk bioteknologi dan ICT serta mewujudkan usahawan tani yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan.

''Setiap petani, penternak dan nelayan serta individu lain yang ingin menceburkan diri dalam bidang ini perlu berfikiran terbuka di samping bekerja dengan lebih kuat lagi," ujarnya.

Dalam pada itu, Yunus memberitahu, pembabitan golongan muda dalam bidang pertanian sememangnya amat digalakkan.

Beliau berkata, kehadiran generasi muda akan merangsang sektor pertanian ke arah yang lebih moden, positif dan dinamik.

''Justeru, diharap lebih ramai lagi golongan muda yang menceburi bidang ini dengan menjadikannya sebagai satu kerjaya," ujarnya ketika berucap pada majlis yang sama.

Selain itu, kata Yunus, usahawan tani turut disaran supaya menyediakan infrastruktur perdagangan berasaskan internet bagi memasarkan produk secara meluas.



Add to Technorati Favorites

Subscribe in a reader



Wednesday, February 25, 2009

Kejayaan Perusahaan Cendawan


Tindakan nekad seorang pemuda, Mohd. Eruan Salleh, 28, berhenti kerja di sebuah syarikat terkemuka di ibu negara semata-mata untuk melibatkan diri secara serius dalam bidang perusahaan cendawan kini ternyata berbaloi.

Biarpun baru setahun mengusahakan projek tanaman cendawan tiram kelabu, bekas pegawai teknikal itu kini mampu menarik nafas lega setelah pendapatannya mencapai angka RM3,000 hingga RM4,000 sebulan.

Eruan ketika ditemui Utusan Malaysia memberitahu, dia gembira dan berasa bangga dengan kejayaan yang dikecapinya sekarang termasuk berjaya menubuhkan syarikat miliknya sendiri iaitu Agro Mesra Trading.

"Mulai sekarang, saya tidak akan menoleh lagi ke belakang, saya akan pastikan usaha dan pengorbanan saya ini akan terus berkekalan serta tidak menjadi sia-sia," katanya ketika ditemui di tapak semaian berdekatan rumahnya di Kampung Padang Pulut di sini semalam.

Eruan yang juga anak keempat daripada lapan beradik pernah mengikuti pengajian Veterinar di peringkat diploma di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada tahun 1998 sebelum melanjutkan pelajaran peringkat ijazah dalam bidang Sains Makanan di universiti yang sama.

Selepas menamatkan pengajian pada tahun 2004, dia bekerja di sebuah agensi pertanian di ibu negara sebagai pegawai teknikal dengan gaji permulaan RM1,800 bagaimanapun berhenti pada hujung tahun lalu bagi memberi tumpuan terhadap tanaman cendawan.

Eruan berkata, berbekalkan modal sendiri dan bantuan ahli keluarga sebanyak RM3,000, dia dan keluarganya telah memulakan projek penanaman cendawan tiram kelabu berhampiran rumahnya.

"Sepanjang empat hingga lima bulan pertama projek ini diusahakan, kami berjaya memperoleh pendapatan purata sebanyak RM2,000 sebulan hasil daripada jualan sebanyak lima kilogram cendawan sehari ke pasar Dungun dan kedai-kedai makan sekitar.

"Namun, selepas mengambil keputusan untuk memperbesarkan projek penanaman ini beberapa bulan lalu, kini jualan dan hasil pendapatan kami meningkat kepada RM3,000 hingga RM4,000 sebulan,'' katanya.

Dalam pada itu katanya, sepanjang mengusahakan projek cendawan tersebut, dia turut menghadapi pelbagai masalah termasuk daripada segi bekalan, cara memproses dan juga serangan penyakit namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha.

Katanya, selain mengusahakan tanaman itu, dia turut menyediakan khidmat menjual peralatan tanaman cendawan dan menawarkan kursus berkaitan pada yuran yang berpatutan.

Mereka yang berminat boleh menghubunginya di talian 019-6056213 untuk keterangan lanjut.



Add to Technorati Favorites

Subscribe in a reader



Tuesday, February 10, 2009

Nugget Cendawan


Suasana di tempat kerja yang tidak menggembirakan mendorong Rosmaizan Che Abdullah, 28, pulang ke kampung dan bertekad untuk berdikari. Bekas juruteknik di sebuah kilang di Selangor itu berharap dapat mengikut jejak langkah dua kakak dan seorang adiknya untuk menjadi peniaga atau usahawan biarpun masih belum pasti apa yang perlu diteroka.

Selepas tertarik dengan rasa cendawan goreng yang dijamahnya, dia mula merasakan ia boleh dijadikan perusahaan jika dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Ini termasuk menambah keenakan dan mempelbagaikan rasanya dan juga pendekatan kreatif untuk memasarkannya.

''Saya memohon untuk menyertai kursus penanaman dan penyediaan pelbagai resipi daripada tumbuhan itu di bawah kendalian Jabatan Pertanian Negeri Kelantan di Lundang selama tiga hari pada Jun lalu," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Atas Pinggir, di sini, baru-baru ini.

Katanya, sebaik sahaja selesai kursus berkenaan, dia memanfaatkan pengetahuan dengan cuba memproses cendawan termasuk sebagai masakan paprik, rojak, sup, jemput-jemput dan sos cendawan sambil mengajak rakan-rakan mencuba.

''Saya mendapati cendawan bersalut lebih menjadi kegemaran ramai dan memulakannya dengan hanya bermodal RM20 untuk membeli cendawan kelabu dan tepung dengan memasarkan secara kecil-kecilan bagi mempromosikannya," ujarnya.

Percubaan itu katanya, tidak sia-sia kerana kini cendawan itu yang banyak diusahakan oleh penduduk setempat dikatakan turut mempunyai banyak khasiat sudah mula digemari ramai.

''Melalui promosi yang dilakukan di ekspo-ekspo perdagangan di negeri ini, saya melihat ia mempunyai potensi besar, apatah lagi belum ada yang mengusahakannya setakat ini," katanya.

Justeru katanya, sejak diperkenalkan dengan jualan hanya 20 paket tiga bulan lalu, kini meningkat kepada lebih 100 paket yang diproses dari enam kilogram cendawan setiap hari.

Cendawan itu katanya, diproses secara segar, dikukus kemudian disalut dengan adunan tepung berperisa lada sulah, lada hitam dan kari yang dijual RM3 bagi setiap peket seberat 160 gram.

Mereka yang membeli, boleh menyimpan agak lama seperti produk dingin beku lainnya dan pengguna hanya perlu menggoreng dan seterusnya mencicahnya dengan sos yang juga berperisa cendawan.

Menurutnya, dia sedang merancang untuk mengembangkannya termasuk menanam cendawan sendiri apabila sambutan daripada orang ramai meningkat sehingga 500 paket setiap hari di samping mengekarkan produknya di semua pasar raya di dalam dan luar Kelantan.



Add to Technorati Favorites

Subscribe in a reader



Saturday, February 7, 2009

Teknologi majukan industri cendawan


AKTIVITI penanaman cendawan kini semakin mendapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan pengusaha bidang pertanian.

Namun, disebabkan industri tersebut masih baru di negara ini, ia memerlukan sokongan dan bantuan dari pelbagai pihak untuk memastikannya terus berkembang.

Sebenarnya, industri berkenaan mampu untuk berkembang disebabkan ia menerima permintaan yang sangat menggalakkan dari kalangan pengguna.

Ini kerana tumbuhan dari spesies kulat tersebut bukan sahaja boleh digunakan sebagai makanan, malah ia turut digunakan untuk menghasilkan makanan hiliran lain seperti jus, sambal cendawan dan juga serunding cendawan.

Bagi mencari platform bagaimana aktiviti penanaman cendawan dapat diperkembangkan melalui penggunaan teknologi dan inovasi terkini, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini telah menganjurkan Persidangan Dan Pameran Cendawan Malaysia 2008 (MMCF 2008)

Program yang dikelolakan oleh Pusat Penyelidikan Cendawan (MRC) UM itu telah mendapat kerjasama dari Persatuan Cendawan Malaysia (MAM) dan juga Jabatan Pertanian.

Selain jualan dan pameran cendawan, program tersebut juga telah menunjukkan demonstrasi memasak resipi cendawan, penjagaan kit cendawan segera dan teknik penanaman cendawan kepada para pengunjung.

Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan Fakulti Sains UM, Prof. Dr. Rauzah Hashim, melalui persidangan seperti itu, golongan seperti pakar-pakar, penyelidik dan juga pengusaha dapat bertukar-tukar pendapat untuk memajukan sektor tersebut melalui sumber-sumber yang ada.

"Inisiatif seperti ini secara tidak langsung dapat mempromosikan penyelidikan dan pembangunan cendawan melalui aplikasi.

"Ia juga bakal memberi manfaat kepada ekonomi negara dan berpotensi untuk menyumbang kepada jaminan kualiti makanan serta kesihatan masyarakat," katanya selepas merasmikan program tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Untuk membangunkan industri berkenaan, ia bukan sahaja bergantung kepada teknik pelaksanaannya, malah perkongsian kerjasama dengan negara-negara lain juga penting agar ia dapat dilakukan dengan berjaya melalui pelaburan kos yang efektif.

Negara kita perlu mengambil pengalaman dari negara-negara pengeluar cendawan seperti Jepun, China, Amerika Syarikat dan juga New Zealand.

Antara jenis cendawan yang di tanam di Malaysia adalah dari spesies tiram kelabu, tiram putih, jeli hitam dan juga bunga kubis.

Setakat ini, MRC telah menghasilkan beberapa kepakaran sistematik melibatkan industri cendawan dari segi bioteknologi, biodiversiti, kesihatan, pertanian dan alam sekitar.

Sementara itu, Pengerusi jawatankuasa penganjur persidangan berkenaan, Prof. Dr. Vikineswary berkata, rakyat Malaysia perlu mengamalkan memakan cendawan kerana selain mempunyai khasiat yang tinggi, ia juga mempunyai kebaikan dari segi kesihatan.

"Makan cendawan secara segar adalah paling digalakkan bagi mendapatkan keseluruhan nutriennya,'' katanya.

Menurut beliau, bagi merangsang pertumbuhan industri berkenaan, kerjasama antara universiti dan institusi pengajian tinggi (IPT) juga penting bagi mewujudkan pelbagai aktiviti dalam kajian mengenai penanaman cendawan.

Antara aktiviti yang boleh dilaksanakan adalah seperti seminar, bengkel, pesta dan juga perkhidmatan bantuan kepada pengusaha yang berminat.

Mengambil contoh UM, mereka ada menjalankan usaha sama dengan beberapa universiti dari luar negara seperti New Zealand dan San Francisco dalam bidang-bidang berkaitan.

Selain itu, universiti tersebut juga melatih lebih kurang 50 pelajar siswazah yang berminat untuk mendalami kajian cendawan dalam pelbagai aspek.

"Kajian-kajian yang dijalankan adalah seperti kandungan enzim di dalam cendawan, teknik penanaman selain mencari spesies-spesies baru di dalam hutan untuk penyelidikan yang lebih terperinci,'' jelasnya

Sebenarnya, tidak semua spesies cendawan boleh ditanam di Malaysia kerana proses pertumbuhan dan khasiat cendawan adalah bergantung kepada iklim sesebuah negara.

Justeru, untuk mencari kesesuaian berkenaan, peranan persatuan dan badan penyelidik adalah sangat penting bagi meningkatkan stimulasi pembiakan dan seterusnya mengekalkan khasiatnya.

Di samping itu, agensi-agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian, persatuan-persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga harus memberi sokongan penuh terhadap usaha berkenaan.

Sehingga penghujung tahun lalu, sebanyak 334 ladang cendawan telah diusahakan di negara ini yang melibatkan tanaman secara komersial dan juga secara persendirian.

Daripada jumlah itu, terdapat enam syarikat yang melaksanakan projek berkenaan dalam skala yang besar iaitu melebihi 500 kilogram (kg) sehari manakala 57 syarikat melakukannya secara sederhana yang melibatkan hasil 50 hingga 500 kg sehari.

Sementara itu, sebanyak 260 pengusaha pula melaksanakannya secara kecil-kecilan dengan hasil yang dikeluarkan kurang daripada 50 kg sehari.

Johor merupakan negeri yang paling banyak mempunyai ladang penanaman cendawan dengan jumlah keseluruhan 67 ladang.

Secara keseluruhannya, negara kita menghasilkan sebanyak 24,000 kg cendawan sehari dan jumlah itu tidak mampu menampung permintaan yang tidak kurang dari 50,000 kg setiap sahari.



Add to Technorati Favorites

Subscribe in a reader